Showing posts with label soalan. Show all posts
Showing posts with label soalan. Show all posts
Friday, July 1, 2016
Bangkit di akhirat tanpa organ yang didermakan? Bagaimana dari perspektif Islam?
Setiap orang Islam yang beriman percaya bahawa Kiamat pasti berlaku. Apabila Kiamat berlaku, segala yang ada di muka bumi akan hancur musnah. Tidak ada apa yang akan tinggal selamat termasuklah tubuh badan manusia. Hanya Allah SWT sahaja yang kekal abadi. Apabila manusia dibangkitkan pada Hari Akhirat di Padang Mahsyar, manusia akan dibangkitkan mengikut amalannya di dunia ini. Jika dia mempunyai banyak amalan baik, maka dia akan dibangkitkan dalam bentuk yang lebih baik dan mulia. Jika amalan buruknya banyak, maka dia akan dibangkitkan dalam bentuk yang lebih buruk dan hina. Maka seharusnya sebagai orang Islam yang beriman, tidak timbul isu sama ada kita akan dibangkitkan dengan organ yang didermakan atau tidak, kerana kita percaya bahawa segala-galanya akan musnah ditiup sangkakala sebelum kita dibangkitkan semula oleh Allah SWT untuk dihimpunkan dan dihisab di Padang Mahsyar. Hakikat kekuasaan Allah SWT membangkitkan semula manusia selepas semuanya hancur disebut dalam firman Allah SWT berikut:
Terjemahan: “Katakanlah: Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya, dan Ia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya).” [Surah Yasin (36): 79]
Sumber : Soalan-Soalan Lazim Mengenai ISLAM & PENDERMAAN ORGAN terbitan KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA Dengan kerjasama JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
Wednesday, June 29, 2016
SOALAN “MENDUGA AIR” DALAM TEMURAMAH VIDEO DERMA ORGAN
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
![]() |
| Ustaz Abdullah Bukhari |
Menderita sakit buah pinggang semenjak tahun 2001 dan menjalani rawatan Dialisis Air (4 kali sehari untuk 20 minit setiap sesi rawatan) selama 2 tahun memang memeritkan. Saya sangat beruntung mempunyai ibu saudara yang sanggup menderma buah pinggangnya pada 5 Ogos 2010. Beruntung kerana para pesakit lain terpaksa menunggu belasan tahun untuk mendapat buah pinggang.
Setelah mendapat buah pinggang baharu kualiti hidup saya berubah. Sudah 3 buah buku saya tulis dan banyak sekali jemputan ceramah dapat saya penuhi. Saya juga menerima banyak jemputan ceramah mengenai kepentingan menjaga buah pinggang dan kebaikan derma organ. Bayangkan pahala yang diperolehi ibu saudara saya dari segala aktiviti tersebut.
Terbaru, semalam (9 Julai 2015), Unit Transplan Nasional, Kementerian Kesihatan Malaysia menemuramah saya untuk terbitan video kempen derma organ terbaru. Cerita menarik saya bukan pada temuramah dan rakaman, tetapi pada soalan “provokatif membina” oleh pengarah rakaman video yang juga seorang Hindu. Jika silap saya menjawab soalan menduga air darinya itu, Islam akan kelihatan kaku, keras dan tidak menggambarkan RAHMAT KEPADA SELURUH ALAM.
Seingat saya, soalannya berbunyi:
Seingat saya, soalannya berbunyi:
“Ustaz! Apa pandangan Islam jika saya yang beragama Hindu menerima organ dermaan orang Islam?” Apakah kesan baik buruk, kerajinan saya beribadat dalam agama saya akan memberikan kesan kepada penderma yang beragama Islam?”
Ini intisari jawapan saya:
Islam memandang kemanusiaan mengatasi segalanya menjangkau aspek agama. Bahkan ia juga ajaran Islam. Dalam Islam, penderma tetap mendapat pahala sedekah atas dermanya. Apa yang dilakukan penerima derma bukan lagi tanggung jawab penderma. Dalilnya:
وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى
Ertinya: Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tldak akan memikul dosa perbuatan orang lain (al-An’am[6:164], al-Isra’[17:15] dan Fatir[35:18]).
Juga tiada “subahat dosa” pada organ yang didermakan kepada bukan Islam. Dalam Islam, sedekah dan pendermaan adalah buta agama dan warna kulit. Islam tidak pernah membataskan agama dalam isu sedekah kerana sedekah adalah tanggungjawab manusia manakala hidayah kepada Islam adalah hak mutlak Allah. Orang yang terbantut hajat sedekahnya perlu memahami bahawa hak Allah dalam memberikan hidayah tidak boleh dicerobohi sama sekali. Firman Allah:
لَيْسَ عَلَيْكَ هُدَاهُمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ خَيْرٍ فَلِأَنْفُسِكُمْ وَمَا تُنْفِقُونَ إِلَّا ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ خَيْرٍ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ
Ertinya: Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadiKan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturanNya). Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan (al-Baqarah[2:272]).
Ayat ini diturunkan menegur sebahagian sahabat nabi SAW yang berasa berat hati untuk bersedekah kepada kaum kerabat mereka yang masih kufur (Tafsir Ibn Kathir). Nas ini jelas menunjukkan Islam tidak menghalang sedekah diberikan kepada golongan bukan Islam kerana pahala sebarang ibadah sedekah dan pendermaan organ sudah dijanjikan Allah berdasarkan hadith ini:
قَالَ رَجُلٌ لَأَتَصَدَّقَنَّ اللَّيْلَةَ بِصَدَقَةٍ فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدِ زَانِيَةٍ فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ تُصُدِّقَ اللَّيْلَةَ عَلَى زَانِيَةٍ قَالَ اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ عَلَى زَانِيَةٍ لَأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدِ غَنِيٍّ فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ تُصُدِّقَ عَلَى غَنِيٍّ قَالَ اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ عَلَى غَنِيٍّ لَأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدِ سَارِقٍ فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ تُصُدِّقَ عَلَى سَارِقٍ فَقَالَ اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ عَلَى زَانِيَةٍ وَعَلَى غَنِيٍّ وَعَلَى سَارِقٍ فَأُتِيَ فَقِيلَ لَهُ أَمَّا صَدَقَتُكَ فَقَدْ قُبِلَتْ أَمَّا الزَّانِيَةُ فَلَعَلَّهَا تَسْتَعِفُّ بِهَا عَنْ زِنَاهَا وَلَعَلَّ الْغَنِيَّ يَعْتَبِرُ فَيُنْفِقُ مِمَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ وَلَعَلَّ السَّارِقَ يَسْتَعِفُّ بِهَا عَنْ سَرِقَتِهِ
Ertinya: Seorang lelaki (dari Bani Isra’il) berkata, “Malam ini aku akan bersedekah.” Dia kemudiannya keluar bersedekah dan tanpa disedarinya dia telah bersedekah kepada seorang penzina. Pagi esoknya, orang ramai bercerita bahawa sedekahnya itu telah diberikan kepada seorang penzina. Lelaki itu pasrah berkata: Ya Allah, segala puji bagiMu. (Tanpa kusedari) aku telah bersedekah kepada seorang penzina. Lelaki tersebut berkata lagi: “Malam ini aku akan bersedekah lagi.” Dia kemudiannya keluar bersedekah dan tanpa disedarinya dia telah bersedekah kepada seorang kaya. Pagi esoknya, orang ramai bercerita bahawa sedekahnya itu telah diberikan kepada seorang kaya. Lelaki itu pasrah berkata: Ya Allah, segala puji bagiMu. (Tanpa kusedari) aku telah bersedekah kepada seorang kaya. Lelaki tersebut berkata lagi: “Malam ini aku akan bersedekah lagi.” ” Dia kemudiannya keluar bersedekah dan tanpa disedarinya dia telah bersedekah kepada seorang pencuri. Pagi esoknya, orang ramai bercerita bahawa sedekahnya itu telah diberikan kepada seorang pencuri. Lelaki itu pasrah berkata: Ya Allah, segala puji bagiMu. (Tanpa kusedari) aku telah bersedekah kepada seorang penzina, seorang kaya dan seorang pencuri. Kemudiannya, seseorang datang kepadanya (dalam mimpinya) dan berkata, “Semua sedekah yang engkau berikan sudah diterima (Allah). Berkenaan si penzina, sedekahmu itu mungkin bakal menghalangnya dari terus berzina. Berkenaan si kaya, sedekahmu itu mungkin bakal menyedarkannya serta mendorongnya agar membelanjakan hartanya pada jalan Allah. Berkenaan si pencuri, sedekahmu itu mungkin bakal menghalangnya dari terus mencuri (Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim).
Setelah mendengar jawapan saya, pengarah rakaman tersebut tersenyum gembira melihat betapa Islam sangat harmoni ajarannya. Beliau lantas mengaku sangat berminat dengan Islam dan sedang mendalami Islam dalam banyak bacaannya. Saya juga menghadiahkan setiap kru rakaman sebuah buku saya “BERJALAN, MELIHAT, MENTAFSIR, CERITERA WARTAWAN AL-QURAN.” Semoga buku dan jawapan saya menyakinkannya tentang kebenaran dan keharmonian Islam.
Manusia pasti diuji kerana hidup adalah pentas ujian. Tinggal lagi bagaimana cara kita menghadapi ujian ini untuk kebaikan agama.
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
Friday, May 13, 2016
SOAL Jawab : Ada tak bekalan / stok organ di hospital untuk didermakan kepada kawan bapa saya?
Soalan : Adakah terdapat bekalan / stok simpanan organ di hospital untuk ditransplankan / didermakan kepada kawan bapa saya?
Jawapan :
Untuk maklumat anda, organ seperti jantung, hati, buah pinggang dan paru-paru tidak mempunyai stok simpanan. Organ adalah tidak sama seperti darah yang mempunyai bank simpanan. Ini kerana organ berfungsi dengan cara yang berbeza. Organ memerlukan darah untuk kekal 'hidup' dan berfungsi dengan baik.
Maka, setiap organ yang dikeluarkan dari tubuh penderma organ memiliki jangka hayat yang tertentu yang amat singkat, sekalipun telah disimpan dalam larutan dan ais. Organ manusia, selepas dikeluarkan dari tubuh hanya mampu bertahan seperti berikut :
- Jantung dan paru-paru : 2 hingga 4 jam
- Hati : 6 hingga 8 jam
- Buah pinggang : 8 hingga 16 jam
Lebih lama masa yang diambil untuk proses pemindahan organ, lebih berkuranglah kualiti organ berkenaan. Oleh yang demikian, proses pendermaan dan transplantasi organ perlulah berjalan dengan cepat, lancar dan tetliti.
Kami mencadangkan bapa kawan anda untuk mendapatkan penderma di kalangan ahli keluarga sendiri atau mendaftar sebagai penerima melalui pegawai perubatan pakar yang merawat beliau.
Harap maklum. Terima kasih.
Subscribe to:
Posts (Atom)



