Sunday, May 15, 2016

Untuk apa kad ikrar?

Setiap pengikrar penderma organ yang berdaftar dengan Pusat Sumber Transplan Nasional akan diberikan sekeping kad hijau bertulis 'Saya Sudah Berikrar'. Apakah fungsi kad ini dan mengapa penting untuk pengikrar menyimpannya dengan cermat?



Bukti telah berikrar

Kad ikrar derma organ adalah dokumen penting yang membuktikan bahawa individu tersebut telah berikrar. Kad berkenaan boleh diperlihatkan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan bagi menzahirkan kesungguhan dan keazaman kita untuk mendermakan organ selepas kematian. Ini penting bagi meyakinkan orang yang terdekat dengan kita mengenai kesediaan kita untuk memberi anugerah kehidupan kepada mereka yang memerlukan.

Menjaga kesihatan

Hanya organ yang sihat dan dalam keadaan baik sahaja yang akan didermakan. Justeru, sekiranya seseorang bersungguh-sungguh ingin membantu, maka akan timbul rasa kepentingan menjaga kesihatan dan mengelakkan dari sebarang penyakit. Kad ikrar berfungsi untuk mengingatkan pemegangnya akan hal berkenaan.

Keizinan

Ini adalah fungsi paling kritkal. Apabila sudah tidak bernyawa, maka apa yang ditinggalkan akan bercakap bagi pihak si mati. Kad ikrar derma organ bertindak sebagai wakil si mati yang akan menyuarakan keazaman si mati untuk mendermakan organnya. Oleh yang demikian, amat penting bagi pengikrar membawa kad ikrar mereka ke mana sahaja, bimbang sekiranya sesuatu berlaku dan kad tersebut tiada di situ untuk menjalankan peranannya.

Selain itu, pada kad ikrar derma organ juga terdapat maklumat-maklumat berkaitan seperti laman web, talian bebas tol dan sosial media kesedaran derma organ yang boleh diakses untuk mendapatkan informasi-informasi penting berhubung pendermaan organ.


4 comments:

  1. Cara gantian terhdp kehilangan kad tersebut.

    ReplyDelete
    Replies
    1. SIla laporkan kepada NTRC melalui emel - ntrc@moh.gov.my . Sila sertakan nama penuh dan nombor mykad anda. Terima kasih.

      Delete
  2. Moga Lebih Ramai Yang Akan Mendaftar Dan Berikrar Sebagai Penderma Organ. Moga Kematian Kita Satu Masa Nanti Mampu Memberi Peluang Hidup Kedua Kepada Yang Memerlukan

    ReplyDelete
  3. Lepas buat perdaftaran berapa lama masa diambil untuk dapat kad.?

    ReplyDelete