Showing posts with label ikrar. Show all posts
Showing posts with label ikrar. Show all posts

Wednesday, August 3, 2016

5 sebab mengapa anda perlu IKRAR derma organ


Sejak ditubuhkan pada 1997, Pusat Sumber Transplan Nasional sentiasa menyeru masyarakat supaya mendaftarkan diri sebagai pengikrar penderma organ melalui kempen, ceramah, iklan dan lain-lain. Walaubagimanapun, sehingga hari ini, hanya sekitar 1% sahaja rakyat Malaysia yang berdaftar sebagai pengikrar penderma organ. Masih ramai lagi masyarakat yang belum mempunyai kesedaran untuk mendermakan organ sedangkan jumlah pesakit yang menunggu untuk rawatan pemindahan organ terus meningkat.

JADI, MENGAPAKAH ANDA PERLU IKRAR SEBAGAI PENDERMA ORGAN?

1) Menjadikan anda seorang yang lebih sihat


Bukan semua orang yang berdaftar sebagai pengikrar penderma organ mempunyai potensi yang sama untuk menjadi penderma sebenar. Ini adalah disebabkan faktor kesihatan yang kadangkala menjadi penghalang dari ia berlaku. Dengan mendaftar sebagai pengikrar penderma organ, anda diseru untuk sentiasa mengamalkan cara hidup yang aktif dan sihat selain meninggalkan amalan-amalan yang mendatangkan mudarat kepada organ seperti merokok dan sebagainya. Ingat, hanya organ yang sihat sahaja yang layak dan sesuai untuk didermakan.

2) Menjadikan anda seorang 'hero'


Lebih 20 ribu pesakit sedang menanggung derita menantikan pemindahan organ. Mereka mungkin terdiri dari saudara-mara, sahabat atau jiran tetangga kita. Mereka ini sentiasa menantikan penderma organ untuk menjadi hero yang membawa mereka keluar dari kesengsaraan akibat kegagalan fungsi organ. Majoriti dari pesakit-pesakit ini adalah mereka yang kegagalan fungsi buah pinggang. Boleh jadi andalah hero yang mereka nanti-nantikan.

3) Menjadikan anda seorang yang lebih tekad


Hakikatnya bukan mudah untuk seseorang membuka hati untuk menjadi penderma organ berdaftar. Apatah lagi dengan banyaknya salah tanggapan, salah informasi dan ditambah pula dengan perselisihan dari segi hukum agama. Ini belum mengambil kira persepsi ahli keluarga dan rakan-rakan. Mungkin ada di antara mereka yang tidak bersetuju dengan keputusan kita. Namun tekad kita untuk membantu para pesakit kegagalan fungsi organ mengatasi semua persepsi tersebut. Tahniah!

4) Anda mungkin terbabit mencipta sejarah


Steve Jobs, seorang tokoh yang popular dengan penghasilan peranti elektronik moden yang telah mengubah dunia teknologi seperti ipod, iPhone dan iPad adalah seorang penerima pendermaan organ. Penderma organ untuk Steve Jobs secara tidak langsung terlibat dalam kerja-kerja beliau sepanjang menghasilkan produk-produk yang hebat, bahkan diakui sendiri oleh Steve Jobs dalam salah satu ucapan beliau. Kita mungkin tidak tahu, organ yang kita dermakan mungkin akan menyelamatkan nyawa insan yang bakal mencipta sejarah yang tersendiri yang mungkin memberi manfaat kepada negara dan dunia.


5) Anda terlibat mengharumkan nama negara

Malaysia terkenal dengan banyak perkara. Namun dari aspek pendermaan organ, kita agak (jauh) ketinggalan di belakang berbanding negara-negara lain (rujuk http://www.irodat.org/). Keadaan ini mesti diubah bagi menjadikan Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang prihatin rakyatnya terutama dalam isu pendermaan organ selain mengharumkan nama negara, sebaris dengan negara-negara jaguh pendermaan organ seperti Sepanyol, Amerika Syarikat dan Perancis. Anda mampu mengubah kedudukan negara kepada yang lebih baik dengan bersama-sama berikrar sebagai penderma organ.


Ayuh berikrar hari ini. Daftarlah sebagai pengikrar penderma organ secara online di sini.

Sekian. Semoga bermanfaat.

Friday, July 15, 2016

IKRAR derma organ : Saya bertekad, keluarga melarang



SOALAN :

Assalamualaikum,salam sejahtera. Keluarga saya membantah niat saya mnderma organ, tapi saya masih bertegas utk mnderma. Seandainya saya layak utk menderma nanti, Pusat Sumber Transplan Nasional ada seperti surat kuasa atau dokumen bertulis yg mengatakan saya boleh menderma. Dan sekiranya ada bantahan dari keluarga saya kelak, masih layak atau tidak utk saya menderma?



JAWAPAN :

W'salam dan salam sejahtera,

Terima kasih di atas pertanyaan anda.

Merujuk kepada Akta Tisu 74, pendermaan organ selepas kematian hanya boleh dijalankan sekiranya mendapat keizinan bertulis dari pihak keluarga. Maka, tanpa kebenaran keluarga, tiadalah pendermaan organ.

Sekiranya anda telah berdaftar sebagai pengikrar penderma organ dan memaklumkan hasrat / ikrar tersebut kepada ahli keluarga, anda sebenarnya telah pun menjalankan tanggungjawab anda untuk membantu para pesakit. Itu sudah memadai bagi kami.

Seterusnya, serahkan pada budi bicara ahli keluarga sama ada untuk memberi keizinan atau tidak.

Selain itu, kita hanya mampu berdoa agar semuanya berjalan dengan lancar seperti apa yang dirancang.


Terima kasih

Monday, June 13, 2016

Keluarga suruh batalkan IKRAR derma organ? Apa yang perlu dilakukan?

IKRAR derma organ adalah bertujuan menzahiran hasrat murni untuk membantu para pesakit kegagalan organ tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Tetapi, apakah yang anda boleh lakukan apabila keluarga atau insan tersayang meminta anda membatalkan ikrar tersebut? Pastinya perkara ini akan menimbulkan konflik di kalangan pengikrar yang benar-benar berhasrat untuk membantu pesakit yang memerlukan. Namun sekiranya terpaksa dan tidak mempunyai pilihan lain, langkah-langkah di bawah boleh diambil :



Saturday, June 11, 2016

(INFOGRAFIK) Alasan untuk tidak menderma organ : Mitos vs Fakta






Tuesday, May 31, 2016

BOLEHKAH SAYA MENJUAL ATAU MEMBELI ORGAN?



Malaysia adalah antara 78 buah negara yang menyertai Deklarasi Istanbul pada tahun 2008. Deklarasi ini antara lain menekankan larangan penjualan atau pembelian organ serta lawatan transplan yang disebut sebagai melanggar prinsip ekuiti, keadilan serta maruah insan.

Oleh yang demikian, sebarang penjualan dan pembelian adalah dilarang sama sekali dan dikira sebagai melanggar undang-undang.

Daftar sebagai pengikrar : www.dermaorgan.gov.my

#dermaorgan
#KKMjomikrar
#MKPO2015

Sunday, May 15, 2016

Untuk apa kad ikrar?

Setiap pengikrar penderma organ yang berdaftar dengan Pusat Sumber Transplan Nasional akan diberikan sekeping kad hijau bertulis 'Saya Sudah Berikrar'. Apakah fungsi kad ini dan mengapa penting untuk pengikrar menyimpannya dengan cermat?



Bukti telah berikrar

Kad ikrar derma organ adalah dokumen penting yang membuktikan bahawa individu tersebut telah berikrar. Kad berkenaan boleh diperlihatkan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan bagi menzahirkan kesungguhan dan keazaman kita untuk mendermakan organ selepas kematian. Ini penting bagi meyakinkan orang yang terdekat dengan kita mengenai kesediaan kita untuk memberi anugerah kehidupan kepada mereka yang memerlukan.

Menjaga kesihatan

Hanya organ yang sihat dan dalam keadaan baik sahaja yang akan didermakan. Justeru, sekiranya seseorang bersungguh-sungguh ingin membantu, maka akan timbul rasa kepentingan menjaga kesihatan dan mengelakkan dari sebarang penyakit. Kad ikrar berfungsi untuk mengingatkan pemegangnya akan hal berkenaan.

Keizinan

Ini adalah fungsi paling kritkal. Apabila sudah tidak bernyawa, maka apa yang ditinggalkan akan bercakap bagi pihak si mati. Kad ikrar derma organ bertindak sebagai wakil si mati yang akan menyuarakan keazaman si mati untuk mendermakan organnya. Oleh yang demikian, amat penting bagi pengikrar membawa kad ikrar mereka ke mana sahaja, bimbang sekiranya sesuatu berlaku dan kad tersebut tiada di situ untuk menjalankan peranannya.

Selain itu, pada kad ikrar derma organ juga terdapat maklumat-maklumat berkaitan seperti laman web, talian bebas tol dan sosial media kesedaran derma organ yang boleh diakses untuk mendapatkan informasi-informasi penting berhubung pendermaan organ.