Showing posts with label quran. Show all posts
Showing posts with label quran. Show all posts

Thursday, July 14, 2016

Sindiket culik dan jual organ : Adakah berlaku di Malaysia?

Dewasa ini masyarakat acapkali dikejutkan dengan khabar melalui media sosial dan aplikasi telefon pintar mengenai amaran wujudnya sindiket culik dan jual organ. Isu ini sedikit sebanyak mencetuskan kebimbangan di kalangan masyarakat terutama di kalangan ibu bapa.
Tetapi apakah ia suatu khabar yang benar? Apakah komen dari pihak berkuasa mengenai isu ini?
POLIS NASIHAT ORANG RAMAI PEMBOHONGAN SINDIKET JUAL ORGAN
Orang ramai diminta tidak terburu-buru mempercayai atau terpengaruh dengan penyebaran berita mengenai sindiket penjualan organ melalui SMS dan WhatsApp sejak akhir-akhir ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Mohd Sakri Ariffin berkata, pihaknya mendapati berita itu palsu dan penyebar bole didakwa.

"Saya maklum mengenai perkara itu ia divlralkan sejak seminggu lalu. Siasatan mendapati berita itu adalah palsu memandangkan sehingga kini kami tidak menerima sebarang laporan.

Bagaimanapun, kami tetap menjalankan pemantauan mengenai sebarang kewujudan sindiket penjualan organ.

Penyebaran berita itu antara lain menyebut pihak tertentu memburu organ kanak-kanak berusia 15 tahun ke bawah memandangkan ia masih berfungsi dengan baik.
'Pihak media Polis Diraja Malaysia (PDKM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKKM) juga memantau perkara ini.
Individu terbabit boleh disiasat dan didakwa mengikui Seksyen 233 Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 kerana penggunaan tidak wajar dalam kemudahan rangkaian," katanya. Sumber- Harian Metro
Pihak polis bukan sahaja menafikan wujudkan kes seperti yang gembar-gemburkan, bahkan melarang orang ramai dari terlibat menyebarkan berita tersebut atau berdepan dengan tindakan undang-undang.


Selain itu, polis juga menegaskan bahawa kes tersebut tidak pernah berlaku dan malah tidak menerima sebarang maklumat atau laporan berhubung sindiket tersebut.
POLIS TIDAK TERIMA MAKLUMAT SINDIKET JUAL ORGAN
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak ada menerima sebarang maklumat atau laporan polis mengenai sindiket penjualan organ manusia dan perogol bersiri melibatkan individu bernama 'Faris Farhan Akhlaken Ahmad' yang disebarkan di laman-laman sosial.
Penolong Ketua, Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat), Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad berkata, laporan-laporan itu adalah palsu dan pernah disebarkan di media sosial sebelum ini. 
Berita-berita palsu ini kini disebarkan semula oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan kegusaran masyarakat terhadap keselamatan mereka, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata PDRM pada Jun lalu pernah mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menegaskan bahawa laporan di laman sosial mengenai sindiket dan perogol bersiri itu adalah palsu semata-mata. 
Asmawati menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebar atau berkongsi maklumat palsu kerana tindakan itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi juga boleh menjejaskan ketenteraman awam serta membangkitkan keresahan masyarakat. - BERNAMA
Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihati diri kami sendiri, pembaca dan masyarakat amnya agar berhati-hati dan bersikap cermat dalam menerima dan menyebarkan berita agar tidak terlibat menyampaikan kisah dan berita yang palsu yang seterusnya akan menimbulkan ketakutan dan menggugat keamanan dalam negara.

Allah S.W.T berfirman dalam surah Al-Hujurat ayat 6 yang membawa maksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. "

Sekiranya kita mendapati berlakunya kes-kes yang mengancam keselamatan, adalah lebih utama untuk kita melaporkannya kepada pihak berkuasa berbanding terburu-buru menyebarkannya di media sosial dan aplikasi telefon pintar. Inilah yang dianjurkan oleh agama melalui surah An-Nur, ayat 83 yang bermaksud :

"Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada - "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu)."


Sekian.

Thursday, June 30, 2016

Derma organ satu anugerah kehidupan

SAYA adalah pesakit buah pinggang semenjak 2001. Pada 5 Ogos 2010, ibu saudara saya telah mendermakan satu buah pinggangnya kepada saya. Alhamdulillah, selepas menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang di Hospital Selayang, Selangor, kualiti hidup saya menjadi bertambah baik.

Lalu bicara ini ingin saya kongsi agar semua pembaca faham erti pendermaan organ. Nyawa adalah anugerah ALLAH SWT yang tidak ternilai dan tidak mampu dijual beli. Islam amat mementingkan penjagaan nyawa dan mengharamkan ia dicabut tanpa sebab yang sah mengikut syarak seperti dalam perlaksanaan hukum kisas (bunuh balas).

Beroleh kelonggaran

Dalam situasi mendesak, sesetengah hukum yang asalnya haram diberikan kelonggaran apabila bertembung dengan risiko menjaga nyawa. Seseorang yang terancam nyawanya dengan kelaparan yang teramat sangat diberikan rukhsah (kelonggaran) untuk menyentuh makanan yang asalnya haram pada kadar tertentu sahaja demi untuk menjaga kesinambungan nyawa.

Firman ALLAH: “Sesungguhnya ALLAH hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang yang disembelih tidak kerana ALLAH maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah: 173)

Dengan nyawa di badan, seseorang mampu melakukan apa sahaja yang dikehendakinya tanpa batasan. Bagaimanapun, kebebasan ini tidak mampu dimiliki oleh sesetengah orang yang mengalami penyakit kronik seperti sakit jantung dan buah pinggang.

Penyakit yang mereka hidapi seolah-olah sudah mencabut sebahagian daripada nyawa dan kenikmatan hidup mereka. Hari yang mereka lalui menjadi suram dan menjejaskan produktiviti mereka sebagai seorang manusia, hamba Tuhan dan warganegara sesebuah negara.

Dalam konteks ibadah, pesakit kronik mengalami kepincangan kehidupan ibadah mereka kerana batasan fizikal yang mereka alami. Contohnya, pesakit buah pinggang yang bergantung kepada rawatan cuci darah berterusan tidak lagi mampu untuk menunaikan ibadah haji yang menjadi salah satu rukun Islam.

Walaupun ulama memberikan kelonggaran dan pengecualian kepada mereka daripada melaksanakan rukun Islam ini, namun jauh di sudut hati mereka kesedihan tetap dirasai kerana tidak mampu memenuhi tanggungjawab rukun Islam kelima ini.

Sedekah dalam Islam

Tidak kurang juga kesan sakit yang mereka alami menyebabkan kepincangan kepada produktivi negara kerana mereka ini sudah pasti salah seorang kakitangan kerajaan atau swasta yang diperlukan tenaganya untuk membangunkan negara.
Banyak sekali kita dapati pesakit kronik menemui ajal di usia muda atau menyerahkan borang persaraan sebelum waktu yang sepatutnya. Bayangkan kerugian modal insan yang dialami oleh kerajaan berikutan kepincangan ini. Di tengah kekecewaan ini, kita semua berpeluang untuk mengubah nasib mereka dengan anugerah tubuh badan sihat kurniaan ALLAH kepada kita.

Bantuan pendermaan organ bukan sahaja membantu para pesakit kronik ini sahaja bahkan turut membantu keluarga mereka dan yang jauh lebih besar membantu negara dengan mengembalikan tahap kesihatan mereka kepada tahap yang lebih baik untuk terus berkhidmat kepada negara mengikut kepakaran yang mereka miliki.

Melihat kepada fakta ini, sebenarnya anugerah organ yang diciptakan ALLAH sebenarnya mempunyai signifikan sosial yang cukup besar. Pendermaan organ boleh disifatkan sebagai kemuncak sedekah yang digalakkan Islam kerana ianya melibatkan anugerah nyawa kurniaan ALLAH.

Walaupun hanya sebahagian organ didermakan kepada yang memerlukan, namun ianya secara tidak langsung memberi sekelumit nyawa untuk sebuah penghidupan. Nyawa pastinya menjadi aset yang paling dihargai manusia kerana kehilangannya amat dibimbangi dan akan ditangisi.

Pendermaan organ juga mempunyai banyak kelebihan rohani yang tidak disedari oleh ramai orang. Organ yang didermakan bakal menjadi saham akhirat sekiranya penerima organ tersebut meneruskan bakti mereka kepada agama.
Setiap gerak laku ibadah seperti solat, zakat, puasa, haji, bakti kepada negara dan sebagainya pasti membuahkan saham kepada penerimanya kerana tanpa bantuan organ yang disumbangkan, si pesakit tidak akan mampu meneruskan hidup mereka secara sempurna ibadahnya.

Juga stigma bakal penerima organ itu terdiri daripada penganut agama lain. Seolah-olah nikmat kesihatan yang bakal diperolehi oleh penerima organ bukan Islam bakal menjadikan mereka bertambah teguh pegangan agama mereka dengan subahat organ yang didermakan oleh penderma Islam.

Sedekah dan pendermaan menurut Islam adalah buta agama dan warna kulit. Islam tidak pernah membataskan agama dalam isu sedekah kerana sedekah adalah tanggungjawab manusia manakala hidayah kepada Islam adalah hak mutlak ALLAH.

Orang yang terbantut hajat sedekahnya perlu memahami hak ALLAH dalam memberikan hidayah tidak boleh dicerobohi sama sekali. Pada penilaian ALLAH SWT, penderma akan mendapat pahala amalannya tetapi tidak akan menanggung dosa penerima sedekahnya walaupun si penerima sedekah menggunakan sedekahnya untuk menderhakai ALLAH.

Dengan kefahaman begini, saya berharap kebajikan akan tersebar dan Islam bertambah cantik pada mata semua tanpa mengira agama.


USTAZ ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM
Pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)a

Thursday, June 2, 2016

Adakah penderma organ menanggung dosa orang yang menerima organnya?


Tidak, kerana setiap orang mukalaf (baligh, berakal dan mumaiyiz) bertanggungjawab ke atas tindaktanduknya sendiri. Allah SWT berfirman dalam alQuran: 


Terjemahan: “Katakanlah: Patutkah aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dialah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? Dan tiadalah (dosa) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya, dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja), kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu Dia menerangkan kepada kamu akan apa yang kamu berselisihan padanya.” [Surah al-An‘am (6): 164] 


Sebaliknya, Dr. Yusuf al-Qaradawi berpandangan bahawa orang yang menderma organ akan diberikan ganjaran pahala kerana perbuatan menderma organ terangkum di bawah sedekah jariah yang merupakan salah satu daripada tiga perkara yang akan memberi ganjaran berterusan selepas kematian. Dalam sebuah Hadith Sahih, Rasulullah SAW bersabda: 
Terjemahan: Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seseorang insan meninggal dunia, terputus daripadanya segala amalan kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan, dan anak yang soleh yang mendoakannya.” [Sahih Muslim, Jilid 3 (t.th.: 1255)] 


Sumber : Soalan-Soalan Lazim Mengenai ISLAM & PENDERMAAN ORGAN terbitan Diterbitkan oleh KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA Dengan kerjasama JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)