Showing posts with label muslim. Show all posts
Showing posts with label muslim. Show all posts

Thursday, June 30, 2016

Derma organ satu anugerah kehidupan

SAYA adalah pesakit buah pinggang semenjak 2001. Pada 5 Ogos 2010, ibu saudara saya telah mendermakan satu buah pinggangnya kepada saya. Alhamdulillah, selepas menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang di Hospital Selayang, Selangor, kualiti hidup saya menjadi bertambah baik.

Lalu bicara ini ingin saya kongsi agar semua pembaca faham erti pendermaan organ. Nyawa adalah anugerah ALLAH SWT yang tidak ternilai dan tidak mampu dijual beli. Islam amat mementingkan penjagaan nyawa dan mengharamkan ia dicabut tanpa sebab yang sah mengikut syarak seperti dalam perlaksanaan hukum kisas (bunuh balas).

Beroleh kelonggaran

Dalam situasi mendesak, sesetengah hukum yang asalnya haram diberikan kelonggaran apabila bertembung dengan risiko menjaga nyawa. Seseorang yang terancam nyawanya dengan kelaparan yang teramat sangat diberikan rukhsah (kelonggaran) untuk menyentuh makanan yang asalnya haram pada kadar tertentu sahaja demi untuk menjaga kesinambungan nyawa.

Firman ALLAH: “Sesungguhnya ALLAH hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang yang disembelih tidak kerana ALLAH maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah: 173)

Dengan nyawa di badan, seseorang mampu melakukan apa sahaja yang dikehendakinya tanpa batasan. Bagaimanapun, kebebasan ini tidak mampu dimiliki oleh sesetengah orang yang mengalami penyakit kronik seperti sakit jantung dan buah pinggang.

Penyakit yang mereka hidapi seolah-olah sudah mencabut sebahagian daripada nyawa dan kenikmatan hidup mereka. Hari yang mereka lalui menjadi suram dan menjejaskan produktiviti mereka sebagai seorang manusia, hamba Tuhan dan warganegara sesebuah negara.

Dalam konteks ibadah, pesakit kronik mengalami kepincangan kehidupan ibadah mereka kerana batasan fizikal yang mereka alami. Contohnya, pesakit buah pinggang yang bergantung kepada rawatan cuci darah berterusan tidak lagi mampu untuk menunaikan ibadah haji yang menjadi salah satu rukun Islam.

Walaupun ulama memberikan kelonggaran dan pengecualian kepada mereka daripada melaksanakan rukun Islam ini, namun jauh di sudut hati mereka kesedihan tetap dirasai kerana tidak mampu memenuhi tanggungjawab rukun Islam kelima ini.

Sedekah dalam Islam

Tidak kurang juga kesan sakit yang mereka alami menyebabkan kepincangan kepada produktivi negara kerana mereka ini sudah pasti salah seorang kakitangan kerajaan atau swasta yang diperlukan tenaganya untuk membangunkan negara.
Banyak sekali kita dapati pesakit kronik menemui ajal di usia muda atau menyerahkan borang persaraan sebelum waktu yang sepatutnya. Bayangkan kerugian modal insan yang dialami oleh kerajaan berikutan kepincangan ini. Di tengah kekecewaan ini, kita semua berpeluang untuk mengubah nasib mereka dengan anugerah tubuh badan sihat kurniaan ALLAH kepada kita.

Bantuan pendermaan organ bukan sahaja membantu para pesakit kronik ini sahaja bahkan turut membantu keluarga mereka dan yang jauh lebih besar membantu negara dengan mengembalikan tahap kesihatan mereka kepada tahap yang lebih baik untuk terus berkhidmat kepada negara mengikut kepakaran yang mereka miliki.

Melihat kepada fakta ini, sebenarnya anugerah organ yang diciptakan ALLAH sebenarnya mempunyai signifikan sosial yang cukup besar. Pendermaan organ boleh disifatkan sebagai kemuncak sedekah yang digalakkan Islam kerana ianya melibatkan anugerah nyawa kurniaan ALLAH.

Walaupun hanya sebahagian organ didermakan kepada yang memerlukan, namun ianya secara tidak langsung memberi sekelumit nyawa untuk sebuah penghidupan. Nyawa pastinya menjadi aset yang paling dihargai manusia kerana kehilangannya amat dibimbangi dan akan ditangisi.

Pendermaan organ juga mempunyai banyak kelebihan rohani yang tidak disedari oleh ramai orang. Organ yang didermakan bakal menjadi saham akhirat sekiranya penerima organ tersebut meneruskan bakti mereka kepada agama.
Setiap gerak laku ibadah seperti solat, zakat, puasa, haji, bakti kepada negara dan sebagainya pasti membuahkan saham kepada penerimanya kerana tanpa bantuan organ yang disumbangkan, si pesakit tidak akan mampu meneruskan hidup mereka secara sempurna ibadahnya.

Juga stigma bakal penerima organ itu terdiri daripada penganut agama lain. Seolah-olah nikmat kesihatan yang bakal diperolehi oleh penerima organ bukan Islam bakal menjadikan mereka bertambah teguh pegangan agama mereka dengan subahat organ yang didermakan oleh penderma Islam.

Sedekah dan pendermaan menurut Islam adalah buta agama dan warna kulit. Islam tidak pernah membataskan agama dalam isu sedekah kerana sedekah adalah tanggungjawab manusia manakala hidayah kepada Islam adalah hak mutlak ALLAH.

Orang yang terbantut hajat sedekahnya perlu memahami hak ALLAH dalam memberikan hidayah tidak boleh dicerobohi sama sekali. Pada penilaian ALLAH SWT, penderma akan mendapat pahala amalannya tetapi tidak akan menanggung dosa penerima sedekahnya walaupun si penerima sedekah menggunakan sedekahnya untuk menderhakai ALLAH.

Dengan kefahaman begini, saya berharap kebajikan akan tersebar dan Islam bertambah cantik pada mata semua tanpa mengira agama.


USTAZ ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM
Pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)a

Friday, June 10, 2016

Bolehkah orang Islam menderma organ kepada orang bukan Islam?


Dalam konteks Malaysia, penderma tidak boleh menetapkan siapa yang boleh atau tidak boleh menerima organ yang didermakannya. Sebaliknya organ akan dipindahkan kepada orang yang paling sesuai menerima organ tersebut yang mempunyai tahap kejayaan pemindahan yang paling baik. Dalam konteks Malaysia juga, orang bukan Islam dikategorikan sebagai kafir dzimmi iaitu mereka yang memberikan taat setia kepada negara dan mereka wajib dilindungi, dibantu dan diselamatkan apabila berada dalam kesusahan atau kesakitan. Ini termasuklah menyelamatkan nyawa menerusi pemindahan organ. Jadi dalam konteks negara Malaysia, tidak timbul isu boleh atau tidak boleh menderma kepada orang bukan Islam kerana mereka wajib dibantu apabila berada dalam kesusahan. 

Hal ini diperjelas menerusi ayat al-Quran berikut: 



Terjemahan: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu daripada kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.” [Surah alMumtahanah (60): 8] Rasulullah SAW juga mengingatkan kita bahawa umat Islam seharusnya menjadi orang yang banyak memberi dan membantu orang lain. Ini dinyatakan dalam Hadith berikut yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Abdullah bin ‘Umar RA:



Terjemahan: Daripada ‘Abdullah ibn `Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda semasa Baginda berada di atas mimbar dan Baginda menyebut tentang sedekah, menahan diri daripada meminta (bantuan kewangan daripada orang lain), dan meminta-minta daripada orang lain, “Tangan yang berada di atas adalah lebih baik daripada tangan yang berada di bawah. Tangan yang di atas ialah orang yang memberi dan tangan yang di bawah ialah orang yang meminta.” [Sahih al-Bukhari, Jilid 2. (1422H: 112)] 




Pendermaan organ juga melahirkan individu dan masyarakat yang mempunyai rasa tanggungjawab untuk membantu satu sama lain tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, pangkat dan harta. Islam sememangnya amat menggalakkan sifat taawun atau bantu-membantu seperti dalam ayat al-Quran berikut: 



Terjemahan: “…Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” [Surah alMaidah (5): 2]

Sumber : Soalan-Soalan Lazim Mengenai ISLAM & PENDERMAAN ORGAN terbitan KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA Dengan kerjasama JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

Tuesday, June 7, 2016

DERMA ORGAN : Seleksi komen dan pandangan para sarjana Islam

Para sarjana Islam telah sekian lama menyokong dan bersama dengan pandangan yang membolehkan pendermaan organ. Setelah diteliti dan dikaji dengan mendalam berhubung manfaat dan kebaikan pendermaan organ terhadap umat, tidak hairanlah apabila ramai sarjana Islam menyuarakan sokongan dan menggesa masyarakat khususnya umat Islam supaya memberikan sokongan dan kerjasama terhadap pendermaan organ. Berikut adalah antara sarjana Islam tempatan dan antarabangsa yang menyokong kempen pendermaan organ :










Thursday, June 2, 2016

Adakah penderma organ menanggung dosa orang yang menerima organnya?


Tidak, kerana setiap orang mukalaf (baligh, berakal dan mumaiyiz) bertanggungjawab ke atas tindaktanduknya sendiri. Allah SWT berfirman dalam alQuran: 


Terjemahan: “Katakanlah: Patutkah aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dialah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? Dan tiadalah (dosa) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya, dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja), kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu Dia menerangkan kepada kamu akan apa yang kamu berselisihan padanya.” [Surah al-An‘am (6): 164] 


Sebaliknya, Dr. Yusuf al-Qaradawi berpandangan bahawa orang yang menderma organ akan diberikan ganjaran pahala kerana perbuatan menderma organ terangkum di bawah sedekah jariah yang merupakan salah satu daripada tiga perkara yang akan memberi ganjaran berterusan selepas kematian. Dalam sebuah Hadith Sahih, Rasulullah SAW bersabda: 
Terjemahan: Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seseorang insan meninggal dunia, terputus daripadanya segala amalan kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan, dan anak yang soleh yang mendoakannya.” [Sahih Muslim, Jilid 3 (t.th.: 1255)] 


Sumber : Soalan-Soalan Lazim Mengenai ISLAM & PENDERMAAN ORGAN terbitan Diterbitkan oleh KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA Dengan kerjasama JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)