Thursday, June 2, 2016

Adakah penderma organ menanggung dosa orang yang menerima organnya?


Tidak, kerana setiap orang mukalaf (baligh, berakal dan mumaiyiz) bertanggungjawab ke atas tindaktanduknya sendiri. Allah SWT berfirman dalam alQuran: 


Terjemahan: “Katakanlah: Patutkah aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dialah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? Dan tiadalah (dosa) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya, dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja), kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu Dia menerangkan kepada kamu akan apa yang kamu berselisihan padanya.” [Surah al-An‘am (6): 164] 


Sebaliknya, Dr. Yusuf al-Qaradawi berpandangan bahawa orang yang menderma organ akan diberikan ganjaran pahala kerana perbuatan menderma organ terangkum di bawah sedekah jariah yang merupakan salah satu daripada tiga perkara yang akan memberi ganjaran berterusan selepas kematian. Dalam sebuah Hadith Sahih, Rasulullah SAW bersabda: 
Terjemahan: Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seseorang insan meninggal dunia, terputus daripadanya segala amalan kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan, dan anak yang soleh yang mendoakannya.” [Sahih Muslim, Jilid 3 (t.th.: 1255)] 


Sumber : Soalan-Soalan Lazim Mengenai ISLAM & PENDERMAAN ORGAN terbitan Diterbitkan oleh KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA Dengan kerjasama JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

No comments:

Post a Comment