Tuesday, May 3, 2016

Pendermaan Semasa Hidup

Penderma organ yang masih hidup hanya boleh mendermakan sebahagian daripada hatinya atau salah satu buah pinggang sahaja.
Di Malaysia pendermaan ini terhad kepada ahli keluarga yang terdekat iaitu pasangan kembar seiras, ahli keluarga darjah pertama (first degree relative) dan ahli keluarga darjah kedua (second degree relative), serta pasangan suami isteri.
Proses pembedahan ini mempunyai risiko walaupun rendah dan bakal penderma mesti menjalani pemeriksaan kesihatan yang terperinci terlebih dahulu bagi memastikan tahap kesihatan beliau berada di tahap paling optimum bagi mengurangkan sebarang komplikasi yang mungkin timbul.
Selain itu, bakal penderma dan penerima perlu mempunyai keserasian kumpulan darah dan tisu.

Bakal penderma perlu menghadiri sesi kaunseling bagi memastikan beliau benar-benar faham tentang risiko pendermaan  dan beliau juga akan dinilai dari aspek sosio-ekonomi.
Pendermaan perlu dilakukan dengan ikhlas tanpa paksaan atau melibatkan sebarang bayaran. Penderma diberi peluang untuk menarik balik keputusannya untuk menderma sekiranya bertukar fikiran. Pendermaan semasa hidup tidak dibenarkan dari kalangan kanak -kanak di bawah umur atau daripada individu kurang upaya mental melainkan untuk pendermaan sum-sum tulang.


Pendermaan Hidup Dari Penderma Yang Tidak Ada Kaitan Keluarga



Pendermaan hidup dari penderma yang tidak mempunyai kaitan keluarga tidak dibenarkan kecuali bagi kes-kes tertentu, di mana pesakit tersebut gagal mendapatkan penderma hidup dari kalangan ahli keluarga dan tiada rawatan alternatif dapat diberi untuk menyelamatkan nyawa. Kebiasaannya, kes sebegini hanya melibatkan pendermaan hati.


"Unrelated Transplant Approval Committee" (UTAC)



 Sekiranya anda mahu menderma organ kepada ahli keluarga yang jauh (darjah ketiga ke atas) atau tidak mempunyai pertalian darah, doktor yang bertanggungjawab terhadap  anda atau bakal penerima perlu mendapatkan kelulusan daripada Jawatankuasa Meluluskan Transplantasi Tiada Kaitan Kekeluargaan (UTAC)  yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Anda akan menjalani sesi penilaian oleh satu jawatankuasa bebas yang dibentuk di bawah jawatankuasa UTAC tersebut dan kelulusan akan diberi berdasarkan penilaian yang dijalankan.

Derma organ : Siapa layak menderma?

Di Malaysia, sesiapa sahaja layak mendermakan organ kecuali kanak-kanak dan individu kurang upaya mental. Mereka tidak dibenarkan untuk menderma organ semasa mereka masih hidup. Banduan juga tidak dibenarkan untuk menderma organ melainkan di dalam keadaan tertentu bagi menyelamatkan nyawa ahli keluarga terdekat.
Pendermaan dapat dijalankan bergantung kepada di mana dan bagaimana seseorang penderma itu meninggal dunia. Anggota kesihatan yang terlatih akan menilai kesesuaian organ yang ingin didermakan. Individu yang menghidap penyakit berjangkit seperti HIV, Hepatitis B atau C, Syphilis tidak dibenarkan untuk menderma organ.
Anda boleh mendaftar sebagai pengikrar secara atas talian di sini.
Atau, muat turun dan cetak borang pendaftaran pengikrar di sini. Isikan kesemua maklumat yang diperlukan. Borang yang telah lengkap hendaklah dihantar kepada Pusat Sumber Transplan Nasional seperti di alamat di bawah:
daftar-button
Alamat : Pusat Sumber Transplan Nasional
(Hospital Kuala Lumpur)
Unit B 5-1, Wisma Sejarah,
No 230, Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Tel: 03-26810681
Faks: 03-26810680
Anda juga boleh berhubung dengan Pusat Sumber Transplan Nasional melalui talian bebas tol 1-800-88-9080 untuk mendapatkan borang pendaftaran. Kad Penderma akan dihantar kemudian dan perlu diisi dan ditandatangani. Kad ini mesti disimpan bersama kad pengenalan anda setiap masa.
Beritahulah ahli keluarga tentang pendaftaran anda sebagai pengikrar penderma organ. Ini adalah penting supaya niat murni anda akan tercapai kelak. Ia akan memudahkan ahli keluarga anda untuk membuat keputusan apabila tiba masanya.
Individu yang berusia dibawah 18 tahun perlu mendapat kebenaran bertulis daripada ibubapa atau penjaga untuk berdaftar sebagai pengikrar penderma organ.
Pendaftaran untuk menjadi pengikrar penderma organ tidak melibatkan sebarang pembayaran atau pemeriksaan kesihatan.

Mati Otak

Mati otak berlaku apabila tiada aliran darah yang membawa oksigen ke dalam otak termasuk pangkal otak yang mengawal sistem pernafasan dan denyutan jantung. Ini boleh terjadi akibat kecederaan ataupun pendarahan dalam kepala yang teruk menyebabkan otak menjadi bengkak.
Oleh kerana otak berada di dalam rangka kepala yang keras, apabila otak bengkak atau pendarahan dalam kepala yang teruk berlaku, tekanan di dalam kepala akan meningkat dengan mendadak. Ini boleh menjejaskan lagi pengaliran darah yang membawa oksigen ke otak. Tanpa oksigen, otak akan bertambah rosak dan bengkak sehingga akhirnya otak akan mati.
Pesakit yang mati otak tidak mempunyai tindakbalas dan tidak bernafas tetapi oleh kerana bantuan pernafasan diberi dengan mesin (ventilator) jantungnya masih berfungsi buat seketika. Kematian otak menyebabkan organ-organ yang lain akan turut mengalami kerosakan dan akhirnya jantung akan berhenti.  Oleh yang demikian, apabila pesakit disahkan mati otak oleh dua orang doktor pakar yang bertauliah melalui dua ujian yang berasingan , ini bermakna pesakit tersebut telah pun meninggal dunia dan mesin pernafasan akan diberhentikan. Ujian pengesahan yang dijalankan adalah mengikut protokol yang diguna pakai di seluruh dunia dan doktor pakar yang mengesahkan kematian otak tidak mempunyai kaitan dengan bidang transplan.

Perspektif Islam Terhadap Pendermaan Organ dan Transplantasi

Pendermaan organ dan transplantasi dibenarkan dalam Islam. Ini adalah kerana pendermaan organ dan 
pemindahan memenuhi keperluan dalam pemeliharaan kehidupan manusia yang merupakan salah satu 
daripada lima objektif dalam maqasid al-Syar’iyyah (objektif undang-undang Islam).



FATWA KEBANGSAAN BERHUBUNG PENDERMAAN TISU, ORGAN DAN TRANSPLANTASI
Di Malaysia , isu pemindahan organ telah dibincangkan sejak 1960-an. Hasilnya, fatwa mengenai pemindahan organ telah dikeluarkan pada tahun 1970 oleh Majlis Fatwa Kebangsaan (pada 23 dan 24 Jun 1970 ): mata dan pemindahan jantung daripada penderma kepada penerima mati hidup adalah dibenarkan dalam Islam , di bawah perkara berikut:
  • Ia dijalankan dalam keadaan kritikal dan penting di mana kehidupan penerima bergantung kepada pemindahan organ, dan pemindahan yang mempunyai peluang yang tinggi untuk berjaya.
  • Dalam pemindahan jantung, kematian penderma mestilah dipastikan.
  • Tindakan yang perlu hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan organ yang terlibat
  • Kebenaran hendaklah diperolehi daripada penderma sebelum transplantasi ( dalam kes-kes kematian biasa) atau dari ahli keluarga ( dalam kes-kes kematian akibat kemalangan).
Keharusan menderma organ juga terikat kepada syarat-syarat berikut yang bertujuan untuk melindungi semua kepentingan selaras dengan undang-undang Islam:
  •  Tidak memudaratkan penderma yang masih hidup  seperti menyebabkan kematian atau hilang upaya (kehilangan pendengaran, penglihatan dan morbility);
  • Pemindahan dilakukan dengan kebenaran daripada penderma;
  • Kebenaran diperoleh daripada penderma yang mengikut undang-undang dan mampu untuk berbuat demikian. Oleh itu , kebenaran tidak boleh diberikan oleh kanak-kanak, pesakit mental yang tidak boleh membuat keputusan rasional, di bawah tekanan atau dipaksa untuk menderma;
  • Tidak dijalankan dengan cara yang boleh melanggar martabat manusia seperti perdagangan organ. Ia perlu dilakukan atas sebab-sebab altruistic;
  • Doktor yang terlibat dalam pemindahan organ mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk menilai penderma dan penerima berdasarkan prinsip maslahah ( manfaat ) dan mafsadah ( kemudaratan ) mengikut undang-undang Islam.
Pada 13 Disember 1989, mati otak diterima sebagai kematian dan dengan itu pendermaan organ adalah dibenarkan.
Pada 21 Jun 1995, penggunaan graf tisu untuk tujuan perubatan adalah diharuskan.