Kadangkala timbul persoalan, mengapa tidak disediakan habuan atau ganjaran bagi mereka yang telah berdaftar sebagai pengikrar penderma organ? Mengapa pendermaan darah yang dijalankan oleh Pusat Darah Negara dan selainnya boleh menyediakan saguhati selepas menderma dan lain-lain keisitimewaan rawatan tetapi pendermaan organ tidak boleh?
Untuk menjawab persoalan ini, mari kita lihat dari beberapa aspek. Pertama, kita tidak boleh samakan derma darah dan ikrar derma organ. Pendermaan darah seperti yang kita ketahui berlaku secara berjadual / berulang sekitar 3 bulan sekali. Apabila pendermaan dilakukan, pihak bank darah dapat mengumpulkan sejumlah darah untuk tujuan simpanan dan boleh dimanfaatkan untuk merawat pesakit. Maka layaklah penderma darah di beri ganjaran tertentu atas jasa mereka untuk membantu pesakit yang memerlukan. Berbeza dengan pendaftaran ikrar pendermaan organ, belum ada organ yang dapat diambil atau didermakan untuk manfaat pesakit. Ia hanya suatu proses ringkas dalam menzahirkan hasrat individu untuk mendermakan organ selepas kematian. Kami menyanjung tinggi hasrat mulia para pengikrar yang mendaftar, tetapi tidak ada sebarang kelebihan atau ganjaran yang diperuntukkan untuk 'ikrar' (melainkan sekeping kad ikrar dan cenderahati kecil yang disediakan). Bahkan, mengikut statistik, tidak ramai di kalangan pengikrar penderma organ yang layak menjadi penderma disebabkan oleh keadaan yang tidak mengizinkan seperti cara kematian yang tidak sesuai, masalah kesihatan dan lain-lain. Hal ini juga menjadi satu cabaran bagi Pusat Sumber Transplan Nasional dalam usaha meningkatkan jumlah penderma organ memandangkan jumlah penunggu pemindahan organ juga kian meingkat saban tahun.
Penderma darah layak mendapat ganjaran tertentu |
Kedua, pendermaan organ tidak sama seperti pendermaan darah baik dari segi pendermaan itu sendiri dan nilainya. Organ yang didermakan seperti jantung, paru-paru, hati dan buah pinggang tidak mungkin tumbuh semula. Setiap masnusia harus hidup dengan set organ yang sama sepanjang hidup mereka (melainkan mereka mendapat pemindahan organ). Darah pula akan terhasil semula sekalipun didermakan berulangkali (dalam jumlah yang ditetapkan). Nilai organ dan darah sudah tentu berbeza. Dua hingga enam unit sel darah merah diperlukan untuk operasi pemindahan jantung dan 6 hingga 10 unit sel darah merah diperlukan untuk operasi pemindahan hati.
Untuk pendermaan organ selepas kematian, tidak ada ganjaran berbentuk wang diperuntukkan untuk keluarga penderma, melainkan caj rawatan di wad dihapuskan (hospital awam).
Berbeza halnya dengan pendermaan organ semasa hidup (baca mengenai pendermaan organ semasa hidup di sini), pihak kerajaan telah menyediakan beberapa ganjaran dan keistimewaan bagi penderma organ hidup. Antaranya ialah rawatan percuma di hospital awam dan kemudahan wad kelas satu (sekiranya ada kekosongan).
Pokoknya, pendermaan organ adalah suatu amalan yang berteraskan kebajikan, keikhlasan dan tidak mengharapkan sebarang balasan atau habuan. Tidaklah dapat diukur dengan wang ringgit betapa tinggi nilai organ manusia walau sekecil buah pinggang sekalipun. Kerana itu dinamakan 'derma' organ. Sekiranya kita tulus dan ikhlas, ganjaran yang lebih besar menanti kita di kehidupan yang seterusnya seperti yang disebut dalam hadis yang bermaksud :
Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Tujuh golongan yang akan Allah naungi pada hari di mana tidak ada naungan selain dari naungan-Nya yaitu pemimpin yang adil, pemuda yang tumbuh di atas ketaatan kepada Allah, laki-laki yang hatinya senantiasa terikat dengan mesjid, dua orang yang mencintai karena Allah, bertemu dan berpisah karena-Nya, seorang lelaki yang diajak berzina oleh seorang wanita yang cantik dan memiliki kedudukan, namun ia berkata: sesungguhnya aku takut kepada Allah, seseorang yang bersedekah dan menyembunyikan sedekahnya tersebut hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya dan seseorang yang mengingat Allah di waktu sendiri hingga meneteslah air matanya.” (HR Bukhari Muslim).