Friday, June 10, 2016

Bolehkah orang Islam menderma organ kepada orang bukan Islam?


Dalam konteks Malaysia, penderma tidak boleh menetapkan siapa yang boleh atau tidak boleh menerima organ yang didermakannya. Sebaliknya organ akan dipindahkan kepada orang yang paling sesuai menerima organ tersebut yang mempunyai tahap kejayaan pemindahan yang paling baik. Dalam konteks Malaysia juga, orang bukan Islam dikategorikan sebagai kafir dzimmi iaitu mereka yang memberikan taat setia kepada negara dan mereka wajib dilindungi, dibantu dan diselamatkan apabila berada dalam kesusahan atau kesakitan. Ini termasuklah menyelamatkan nyawa menerusi pemindahan organ. Jadi dalam konteks negara Malaysia, tidak timbul isu boleh atau tidak boleh menderma kepada orang bukan Islam kerana mereka wajib dibantu apabila berada dalam kesusahan. 

Hal ini diperjelas menerusi ayat al-Quran berikut: 



Terjemahan: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu daripada kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.” [Surah alMumtahanah (60): 8] Rasulullah SAW juga mengingatkan kita bahawa umat Islam seharusnya menjadi orang yang banyak memberi dan membantu orang lain. Ini dinyatakan dalam Hadith berikut yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Abdullah bin ‘Umar RA:



Terjemahan: Daripada ‘Abdullah ibn `Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda semasa Baginda berada di atas mimbar dan Baginda menyebut tentang sedekah, menahan diri daripada meminta (bantuan kewangan daripada orang lain), dan meminta-minta daripada orang lain, “Tangan yang berada di atas adalah lebih baik daripada tangan yang berada di bawah. Tangan yang di atas ialah orang yang memberi dan tangan yang di bawah ialah orang yang meminta.” [Sahih al-Bukhari, Jilid 2. (1422H: 112)] 




Pendermaan organ juga melahirkan individu dan masyarakat yang mempunyai rasa tanggungjawab untuk membantu satu sama lain tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, pangkat dan harta. Islam sememangnya amat menggalakkan sifat taawun atau bantu-membantu seperti dalam ayat al-Quran berikut: 



Terjemahan: “…Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” [Surah alMaidah (5): 2]

Sumber : Soalan-Soalan Lazim Mengenai ISLAM & PENDERMAAN ORGAN terbitan KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA Dengan kerjasama JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

1 comment: