Saturday, June 4, 2016

Tentang Pusat Sumber Transplan Nasional

Ditubuhkan pada 1997 di Hospital Kuala Lumpur oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, diperkukuhkan lagi dengan sokongan dan kerjasama Bahagian Perkembangan Perubatan bagi menyebarkan maklumat yang betul dan tepat serta mempertingkatkan kesedaran masyarakat di Malaysia mengenai pendermaan organ dan transplan. 
Objektif utama penubuhannya adalah untuk mendapatkan lebih ramai pengikrar pendermaan organ yang lebih tertumpu pada pendermaan selepas kematian. Di samping itu, ia turut berperanan sebagai pusat pendaftaran pengikrar organ dan tisu serta menyimpan pengkalan data pengikrar dan penderma selepas kematian. 
Pusat Sumber Transplan Nasional juga berkerjasama dengan pelbagai organisasi bukan kerajaan, badan-badan agama, persatuan-persatuan pelajar, badan korporat, agensi kerajaan dan swasta serta pihak media dalam menyebarkan maklumat tentang pendermaan organ dan program transplantasi melalui ceramah, kaunter bergerak, kempen, forum, temubual dan sebagainya.
Selain daripada PSTN, Kementerian Kesihatan juga telah menubuhkan beberapa Pusat Sumber Transplan di beberapa buah hospital iaitu:
  1. Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu;
  2. Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak; dan
  3. Hospital Pulau Pinang,
Pada Julai 2001, KKM telah memperkukuhkan lagi perkhidmatan transplan dengan menubuhkan Unit Pengurusan Perolehan Transplan Kebangsaan yang beroperasi bersama Pusat Sumber Transplan Nasional. Tujuan penubuhan unit ini adalah untuk menyelaras pendermaan organ selepas kematian peringkat kebangsaan dan juga memberi latihan kepada kakitangan kesihatan berkenaan pendermaan dan transplantas organ dan tisu.
Pada tahun 2008, Unit Pengurusan Perolehan Transplan diperluaskan kepada peringkat wilayah iaitu di:-
  • Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru (untuk seluruh Johor) ;
  • Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh, Perak (untuk seluruh negeri Perak);
  • Hospital Pulau Pinang, (untuk seluruh Pulau Pinang, Kedah dan Perlis);
  • Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang (untuk seluruh negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan);
  • Hospital Queen Elizabeth (untuk seluruh negeri Sabah); dan
  • Hospital Umum Sarawak (untuk seluruh negeri Sarawak).

No comments:

Post a Comment